Bid'ah Lebih Disukai Iblis Daripada Maksiat!.
Tuesday, July 13, 2010
Siri 1: Menjawab buku "Ali bin Abi Talib (Mutiara Ilmu Islam)" terbitan PTS
Pertama sekali, perlu dijelaskan bahawa tujuan menjawab penulisan buku Abdul Latip Talib ini bukanlah untuk menghina, merendahkan atau memburukkannya. Sebaliknya, untuk menjelaskan atau menjawab beberapa fakta yang tidak benar tentang sejarah yang terdapat di dalam buku tersebut. Kami yakin, bahawa mungkin Abdul Latip Talib terlepas pandang atau kurang cermat dalam mengambil sumber rujukan yang tidak disemak dengan teliti. Apapun, kami mendoakan supaya Abdul Latip Talib dapat terus menulis buku-buku yang memberi manfaat kepada dunia Islam, khususnya kepada remaja.
Bagi mereka yang mempunyai buku karangan Abdul Latip Talib yang bertajuk "Ali bin Abi Talib (Mutiara Ilmu Islam)". Anda diminta untuk membuka halaman 252-253, iaitu peristiwa Sayyidatina Aisyah r.a yang dikatakan telah disalak oleh Anjing Hau’ab. Hal ini telah lama dijawab oleh Maulana Asri Yusoff. Selamat membaca.
Di sini kita hanya akan menyorot peristiwa Sayyidatina Aisyah r.a yang dikatakan telah disalak oleh Anjing Hau’ab itu dalam perjalanannya dari Mekah ke Basrah demi mencari persefahaman yang diidam-idamkan oleh setiap umat Islam pada ketika itu, dengan tidak lagi mencurahkan tenaga untuk membincangkan sama ada rombongan Sayyidatina Aisyah bersama dengan Thalhah dan Zubair itu keluar dengan tujuan perang atau mencari titik persefahaman di antara pihak mereka dengan pihak Sayyidina Ali yang mana bersembunyi di belakangnya ramai sekali orang-orang yang terlibat dalam pembunuhan Sayyidina Utsman.
Begitu juga tentang apa yang dikatakan peperangan Jamal itu sendiri sama ada ia adalah suatu perang yang dirancang sejak awal lagi atau ia suatu yang dicetuskan secara tiba-tiba oleh pembunuh-pembunuh Sayyidina Utsman yang terasa terancam dengan keberangkatan umat Islam yang dipimpin oleh Ibu mereka Sayyidatina Aisyah r.a. dari Mekkah. Kerana perbincangan tentang itu semua memerlukan satu siri yang tersendiri pula, dengan itu sekarang marilah kita ikuti jejak-jejak kisah ini supaya akhirnya kita sampai kepada orang-orang yang telah meninggalkan kesan tapak kakinya di atas bumi sejarah Islam, dan apabila tertangkap nanti orang-orang yang terbabit dalam merekacipta cerita ini dapatlah kita pastikan dari golongan manakah mereka itu dan seterusnya dengan mudah dapat kita putuskan apakah sebenarnya motif mereka dalam mengadakan cerita-cerita seumpama ini di samping akan terselamatlah masyarakat daripada bahana fitnah mereka.
Sejauh yang dapat dikesan daripada buku-buku sejarah, maka kita dapati Ibn Jarir At –Thabarilah orang yang menceritakan sanad-sanadnya sendiri. Justeru itu ada baiknya jika kita mengikuti apa yang telah dibentangkan oleh At-Thabari itu di dalam kitabnya "Tarikhu Al-Umam Wa Al-Muluk".
At-Thabari mengambil cerita ini daripada Ismail bin Musa al-Fazaairi. Dia mengambil daripada Ali bin ‘Abis Al-Azraqi. Dia pula berkata :"Abal Khattab Al-hajri menceritakan kepada kami kisah ini, diambilnya dari Safwan bin Qabishah Al-Ahmasi, katanya ; al-Urani, tuan punya unta telah menceritakan kepadaku dengan berkata : “Ketika saya mengenderai unta tiba-tiba datang di hadapan saya seorang yang berkenderaan. Dia bertanya, “ Wahai tuan punya unta, mahukah engkau jualkan untamu?”, Saya menjawab, “ Ya”. Dia bertanya, "berapa harganya?" Aku menjawab, “ Seribu dirham”. Orang itu berkata, “ Gila engkau! Adakah patut unta dijual dengan seribu dirham?”. “Ya! Ini unta saya”. Orang itu bertanya, “ Apa kelebihannya?”. Aku menceritakan, “ Tidak kukejar sesiapa pun dengan mengenderainya melainkan aku mendapatkannya dan tidak ada sesiapa pun mengejar aku ketika aku mengenderainya melainkan tidak didapatnya aku”. Berkata orang itu, “Kalaulah engkau tahu untuk siapakah kami dapatkan unta ini, tentu engkau tidak meletakkan setinggi itu harganya”. Aku bertanya, “ Jadi untuk siapa kamu mahu membelinya?”. Dia menjawab, “Untuk Ibumu”. Aku berkata, “Sesungguhnya telah kutinggalkan ibuku di rumahnya, dia tidak mahu kemana-mana pun”. Orang itu berkata, “Saya mahukan unta ini untuk ibu orang-orang mu’min, Aisyah”, Aku pun berkata, “ Jika begitu, ambillah unta ini dengan percuma”. Kata orang itu, “ Tidak ! Tetapi marilah bersamaku ke tempat persinggahan kami. Saya akan berikan kepadamu seekor unta betina Mahriyyah dan beberapa dirham sebagai tambahannya”. Dengan itu aku pun pergilah bersama orang itu ke tempat persinggahannya, maka mereka memberikan kepadaku seekor unta betina Mahriyyah bersama wang 400 atau 200 dirham. Setelah itu orang menanya aku, “Wahai saudara Urani! Bolehkah engkau menunjukkan jalan kepada kami?”. Aku menjawab, “ Ya! Memang kerja saya mencari orang”. Orang itu berkata, “Kalau begitu, ayuh bersama kami”. Maka berjalanlah aku bersama mereka. Tidak kulalui sesuatu lembah atau sesuatu mata air melainkan mereka bertanya tentang nama tempat itu sehinggalah kami sampai ke mata air Hau’ab lalu disalak oleh anjing-anjingnya. Mereka bertanya, "Apa namanya tempat mata air ini?”. Saya menceritakan, “ Ini adalah kolam Hau’ab”.
Berkata Urani, “Terus Aisyah berteriak dengan setinggi-tinggi suaranya, kemudian dia memukul untanya supaya pergi dari situ. Kemudian dia berkata, “Demi Allah ! Akulah perempuan yang akan disalak oleh anjing-anjing Hau’ab itu. Bawalah aku pulang!”. Tiga kali dia berkata begitu, lalu terus memukul untanya supaya bangkit. Orang-orang lain juga turut berangkat bersamanya dan berpatah balik sehinggalah hari keesokannya tiba-tiba datang kepadanya Abdullah bin Zubair dalam keadaan kebimbangan seraya berkata, “Selamatkan diri! Selamatkan diri! Tentera Ali sudah pun hampir sampai kemari”.
Urani berkata, “Maka berangkatlah mereka dalam keadaan menyeranah aku. Aku pun meninggalkan mereka. Tidak jauh aku berjalan dari situ aku pun bertemu Ali bersama-sama bala tenteranya seramai lebih kurang 300 orang. Ali memanggil aku, “Wahai orang yang berkenderaan! Marilah ke sini”. Maka aku pun pergilah. Dia bertanya, “ Dimana berada bala tentera itu?” Aku menjawab, “Di tempat sekian…. dan inilah untanya, saya telah menjualkan unta saya kepada mereka. Ali bertanya, “Adakah engkau telah berjalan juga bersama mereka? Aku menjawab, “Memang saya berjalan bersama mereka sehingga kami sampai ke mata air Hau’ab. Di situ anjing-anjingnya menyalak perempuan itu. Perempuan itu berkata begini … begini. Bila saya melihat perselisihan berlaku antara mereka saya pun meninggalkan mereka dan mereka terus pergi”. Ali berkata, “Bolehkah engkau tunjukkan kepada kami jalan ke Ziiqar?”. Aku berkata. “Mungkin sayalah orang yang paling tahu tentangnya”. Dia pun berkata, “Kalau begitu, marilah bersama”. Berkata Urani, “Maka kami pun berjalanlah sehingga kami sampai di Ziiqar. Sesampainya di situ Ali bin Abi Talib memanggil dua orang dan disuruh supaya mereka duduk bahu membahu. Kemudian dipanggil seorang yang lain pula lalu disuruh supaya duduk di atas bahu mereka berdua. Kemudian tampillah Ali dan terus memanjat belakang mereka. Lalu menduduki belakang yang teratas di antara mereka dengan menjuntaikan kedua-dua kakinya dari atas sebelah bahunya ( orang yang teratas ). Beliau memuji-muji Allah s.w.t. dan berselawat kepada Nabi s.a.w. kemudian beliau berkata, “Sesungguhnya kamu telah pun melihat apa yang telah dilakukan oleh golongan ini dan perempuan ini”.
Mendengar kata-kata Ali itu, Hassan pun bangun lalu menangis seperti perempuan. Hassan menerangkan, “Ya! Sudah pun aku memerintah engkau tetapi engkau menderhakaiku kerana engkau pun akan dibunuh dengan dahsyat ( penuh kesombongan ) dan tiada siapapun yang akan membelamu!”. Ali berkata, “Terangkanlah apa yang telah engkau perintahkan aku itu kepada orang ramai”. Hassan pun menerangkan, “ Bila Utsman telah dibunuh, telahpun aku perintahkan engkau supaya jangan menghulur tangan untuk menerima bai’at dari sesiapa sehingga orang-orang Arab di semua kawasan atau wilayah memaksa engkau menerima bai’at. Tentu sekali mereka tidak akan melantik orang lain selain engkau untuk memegang jawatan Khalifah. Tetapi engkau tidak mendengar cakapku. Bila perempuan ini bersama orang-orangnya mengangkat kepala sudah pun aku katakan kepadamu supaya jangan meninggalkan Madinah. Apa yang perlu engkau lakukan ialah menghantar utusan-utusan kepada pengikut-pengikutmu yang menerima cakapmu”.
Setelah mendengar keterangan Hassan itu, Ali pun berkata, “Memang benar apa katanya itu. Tetapi demi Allah, anakku! Aku tak mahu manjadi lemah seperti dhabo’. Begini ceritanya : Bila Rasulullah s.a.w. wafat, aku tak nampak sesiapa pun yang lebih berhak memegang jawatan sebagai Khalifah itu dari aku, tetapi orang ramai membai’ah Abu Bakar. Maka aku turut berbai’ah kepadanya, kemudian bila Abu Bakar mati aku tak nampak ada sesiapa yang lebih berhak untuk jawatan itu daripadaku, tetapi orang ramai berbai’ah kepada Umar maka aku pun turut berbai’ah kepadanya. Kemudian bila Umar mati ( sebelum mati ) dia telah melantik aku menjadi salah seorang dari enam orang ahli yang layak dilantik menjadi Khalifah. Ketika itu aku tak nampak juga ada seseorang yang lebih layak daripada aku untuk memegang jawatan ini tetapi orang ramai telah membai’ah Utsman maka aku juga turut membai’ahnya. Setelah orang ramai memberontak terhadap Utsman lalu membunuhnya barulah mereka datang kepadaku dan berbai’at kepadaku dengan suka rela tanpa dipaksa. Jadi sekarang saya akan memerangi sesiapa saja yang menentang saya dengan pertolongan orang-orang yang mengikutku sehingga Allah swt memutuskan di antara aku dengan mereka dan Dialah yang sebaik-baik memberi keputusan”. ( At-Thabari, Tarikhu Al-Umam wa Al-Muluk, jilid 3,m.s. 475-476).
Itulah kisah-kisah anjing Hau’ab yang telah dikemukakan oleh At-Thabari dengan isnadnya. Dengan beberapa kali membacanya dan merenungnya kita akan sampai kepada satu kesimpulan iaitu orang yang telah mereka cerita ini tentu sekali orang-orang kosong jiwanya daripada rasa hormat terhadap Sayyidatina Aisyah r.a. dan juga Sayyidina Ali r.a dan para sahabat sekalian. Matlamatnya tidak lain hanya ingin membangkitkan kebencian manusia terhadap Islam apabila diterima pembawa-pembawanya terdiri daripada orang-orang yang berperibadi rendah dan berperangai tak senonoh.
Yang menghairankan ialah ahli-ahli cerita itu hanya mengambil bahagian pertama daripada kisah yang dikemukakan oleh At-Thabari dengan tujuan menghina Aisyah r.a dan merendah-rendahkan beliau. Tetapi mereka tidak pula mengemukakan bahagian akhir cerita yang dikemukakan oleh At-Thabari yang jelas menunjukkan betapa tak senonohnya Sayyidina Ali dan betapa gilanya beliau terhadap kuasa ! (wal iyazubillah ).
Memanglah riwayat At-Thabari akan menjadi masalah kepada orang-orang yang menganggap segala apa yang tersebut di dalam kitabnya Tarikhu Al-Umam wa Al-Muluk sebagai fakta yang muktamad dalam sejarah Islam. Tentu sekali riwayat yang dikemukakan itu tidak dapat bertahan apabila diuji dengan batu penguji ilmu Riwayat dan Dirayah yang pernah diperkenalkan oleh ulama-ulama Islam dahulu, tetapi bagi setengah-setengah orang seperti Al-Maududi di dalam bukunya, “Khilafah wa Mulukiyyat” atau “Khilafah dan kerajaan” batu penguji ini dianggap sebagai pokok yang ditegah orang mendekatinya sepertimana pokok yang ditegah Allah, Adam dan Hawa mendekatinya. Kata beliau, “Jika sejarah Islam itu diuji dengan batu penguji ilmu rijal nescaya tidak akan tinggal kecuali hanya 1/10 daripada sejarah Islam itu “.
Rupanya bagi beliau pun 9/10 daripada sejarah Islam ini tidak dapat bertahan sebagai satu fakta yang semestinya diterima umat.
Anda disarankan untuk membaca sambungannya iaitu;
1) KECACATAN CERITA INI DINILAI DENGAN KAEDAH DIRAYAH
2) KECACATAN CERITA INI DINILAI DENGAN KAEDAH RIWAYAH
*Sila klik link ini: http://darulkautsar.net/article.php?ArticleID=179
*Tolong Sebarkan.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
PLEASE INVITE LEBIH RAMAI RAKAN ANDA BERSAMA-SAMA UNTUK
BERJUANG DI PAGES INI =)
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
No Response to "Siri 1: Menjawab buku "Ali bin Abi Talib (Mutiara Ilmu Islam)" terbitan PTS"
Leave A Reply