WAHHABI

Bid'ah Lebih Disukai Iblis Daripada Maksiat!.

Showing posts with label Hadis. Show all posts
Showing posts with label Hadis. Show all posts

Tuesday, May 31, 2011

Hadis Dha‘if: Hukum dan Syarat Pengamalannya




1. Kata-Kata al-Imam al-Nawawi.
2. Pendapat para ilmuan berkenaan pengamalan hadis dha‘if
3. Syarat-syarat pengamalan hadis dha‘if:

- Ulasan kepada syarat pertama
- Ulasan kepada syarat kedua.
- Ulasan kepada syarat ketiga

4. Memberi prioriti kepada hadis sahih dan hasan
5. Hadis dha‘if tidak boleh dijadikan ukuran nilai sesuatu amal
6. Rujukan

Dalam risalah ini penulis akan cuba mengupas isu beramal dengan hadis yang dha‘if. Kupasan ini adalah bersifat umum tanpa terhad kepada bebrapa isu sahaja kerana terdapat banyak amalan kita di Malaysia yang disandarkan kepada hadis-hadis yang dha‘if.

1. Kata-Kata al-Imam al-Nawawi.

Kebanyakan orang yang membolehkan penggunaan hadis dha‘if menyandarkan hujah mereka kepada kata-kata al-Imam al-Nawawi rahimahullah (676H):[1]

Berkata para ilmuan daripada kalangan ahli hadis, ahli fiqh dan selain mereka, dibolehkan – bahkan disunatkan beramal dengan hadis dha‘if dalam bab keutamaan (al-Fadha’il), memberi anjuran (al-Targhib) dan amaran (al-Tarhib) asalkan ianya bukan hadis maudhu’.

Adapun dalam bab hukum-hakam seperti halal dan haram, jual-beli, penceraian dan apa-apa lain yang seumpama, tidak boleh beramal dengan hadis dha‘if kecuali dengan hadis yang sahih atau hasan. Melainkan jika hadis-hadis tersebut bersangkutan dengan sikap berhati-hati terhadap bab-bab tersebut, seperti hadis dha‘if yang menyebutkan makruhnya hukum melakukan sebahagian bentuk jual-beli atau pernikahan, maka disunatkan untuk menghindari daripadanya (yang makruh tersebut) namun ia tidak jatuh kepada hukum wajib.

Ada yang menerima kata-kata al-Imam al-Nawawi di atas sebulat-bulatnya, bahkan menganggap mudah bahawa pengamalan hadis dha‘if diperbolehkan asalkan ianya bukan hadis maudhu’. Sebenarnya terdapat beberapa syarat yang perlu diperhatikan oleh seseorang sebelum dia boleh mengamalkan hadis dha‘if. Syarat-syarat ini juga diketahui dan dipegang oleh al-Imam al-Nawawi, hanya beliau tidak menggariskannya dalam kitabnya al-Azkar kerana kitab tersebut bukanlah kitab ilmu hadis tetapi kitab yang dipermudahkan untuk menjadi amalan orang ramai. Hal ini seperti yang disebutkan sendiri oleh al-Imam al-Nawawi di bahagian muqaddimah kitab al-Azkarnya tersebut.

2. Pendapat para ilmuan berkenaan pengamalan hadis dha‘if

Dalam kata-kata al-Imam al-Nawawi di atas, beliau menyebut bahawa: “Berkata para ilmuan daripada kalangan ahli hadis, ahli fiqh dan selain mereka, dibolehkan – bahkan disunatkan beramal dengan hadis dha‘if……” Kata-kata di atas sebenarnya bukan mencerminkan pandangan ijma’ tetapi jumhur ilmuan Islam. Hal ini diterangkan oleh al-Hafiz al-Sakhawi rahimahullah (902H):[2]

……bahawa dalam pengamalan hadis dha‘if terdapat tiga pendapat: (yang pertama adalah) tidak dibolehkan beramal dengannya secara mutlak, (yang kedua adalah) boleh beramal dengannya jika dalam bab tersebut tidak ada yang selainnya (tidak ada hadis yang sahih atau hasan) dan yang ketiga – ini merupakan pendapat jumhur – boleh beramal dengannya dalam bab keutamaan asalkan bukan dalam bab hukum-hakam sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini akan syarat-syaratnya.

3. Syarat-syarat pengamalan hadis dha‘if.

Sepertimana yang dikatakan oleh al-Hafiz al-Sakhawi di atas, jumhur ilmuan membolehkan penggunaan hadis dha‘if dalam bab keutamaan beramal selagi mana diperhatikan syarat-syaratnya. Syarat-syarat tersebut dikemukakan oleh beliau seperti berikut:[3]

Saya mendengar guru kami rahimahullah (yakni al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani, 852H) selalu berkata, bahkan telah mencatitkannya dengan tulisannya untuk saya bahawa syarat pengamalan hadis dha‘if ada tiga:

1. Yang disepakati, bahawa kelemahan hadis tersebut tidak berat. Maka terkeluarlah apa yang diriwayatkan oleh seorang perawi yang dusta atau dituduh sebagai pemalsu hadis serta yang parah kesalahannya.

2. Bahawa ianya mencakupi asas umum (agama). Maka terkeluarlah sesuatu yang diada-adakan kerana tidak memiliki dalil asas yang mengasaskannya.

3. Bahawa ia diamalkan tanpa berkeyakinan ia adalah sabit (daripada Nabi), agar tidak disandarkan kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam apa yang tidak disabdakan olehnya.

Seterusnya marilah kita mengulas lanjut tiga syarat di atas.

3.1 Ulasan kepada syarat pertama

Hadis dha‘if yang diperbolehkan penggunaannya ialah hadis yang ringan kelemahannya. Maka dari sini dapat kita ketahui bahawa setiap hadis yang ingin digunakan, sekalipun untuk tujuan keutamaan beramal dan memberi anjuran serta amaran, perlu dirujuk kepada sumbernya yang asal dan disemak darjatnya. Ini kerana tanpa merujuk kepada sumbernya yang asal dan menyemak darjatnya, kita tidak akan mengetahui sama ada kelemahannya adalah ringan atau berat. Dirujuk kepada sumbernya yang asal bererti mencari hadis tersebut dalam kitab-kitab hadis sama ada ia benar-benar wujud atau tidak. Disemak darjatnya bererti dikaji sanadnya sama ada ianya sahih atau tidak. Jika ianya tidak sahih, maka disemak sama ada kelemahannya adalah ringan atau berat. Jika kelemahannya ringan maka ia lulus syarat yang pertama ini, jika kelemahannya adalah berat maka ia gagal.

Di sini penulis merasa perlu untuk membetulkan salah faham masyarakat, termasuk para da’i, penceramah, penulis dan ilmuan yang selain daripada ahli hadis, yang berpendapat boleh menggunakan apa jua hadis asalkan ia duduk di dalam bab keutamaan beramal (al-Fadha‘il) dan memberi anjuran serta amaran (al-Targhib wa al-Tarhib). Mereka tidak menyemak asal-usul hadis tersebut sama ada ia wujud atau tidak dalam kitab-kitab hadis yang lengkap dengan sanadnya. Lebih memberatkan, mereka tidak memberi perhatian langsung kepada darjatnya. Setiap hadis yang mereka temui dalam bab ini disampaikan terus dalam kuliah-kuliah atau karya-karya mereka.

Ini sebenarnya adalah kesalahan yang amat berat. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang menceritakan (atau meriwayatkan) satu hadis dan dia pandang hadis tersebut sebagai dusta, maka dia termasuk dalam salah seorang pendusta.” [Shahih Muslim, muqaddimah] Terhadap hadis ini, al-Imam Ibn Hibban rahimahullah (354H) menukil daripada al-Imam Abu Hatim rahimahullah:[4]

Dalam hadis ini terdapat dalil yang membenarkan apa yang kami sebut, bahawa apabila seseorang itu meriwayatkan sebuah hadis yang tidak sah daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, apa sahaja hadis yang disandarkan kepada baginda, padahal dia mengetahui bahawa ia tidak sah, (maka) dia termasuk salah seorang pendusta.

Malah maksud zahir hadis ini adalah lebih berat kerana baginda shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang menceritakan (atau meriwayatkan) satu hadis dan dia pandang hadis tersebut sebagai dusta…”, baginda tidak mengatakan bahawa orang tersebut yakin bahawa hadis tersebut adalah dusta (tetapi sekadar memandangnya sebagai dusta). Maka setiap orang yang ragu-ragu sama ada yang diriwayatkannya itu adalah sahih atau tidak sahih termasuk dalam zahir perbicaraan hadis ini.

Perkara yang sama juga disebut oleh al-Imam al-Thohawi rahimahullah (321H):[5]

Sesiapa yang menyampaikan hadis daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berdasarkan sangkaan, bererti dia menyampaikan hadis daripada baginda secara tidak benar. (Sesiapa yang) menyampaikan hadis daripada baginda secara tidak benar bererti dia menyampaikan hadis daripada baginda secara batil. (Sesiapa yang) menyampaikan hadis daripada baginda secara batil (maka) dia berdusta ke atas baginda sebagaimana seorang pendusta hadis. Mereka termasuk dalam sabdanya shallallahu 'alaihi wasallam: “Sesiapa yang berdusta ke atas aku maka hendaklah dia mengambil tempat duduknya di dalam neraka.” Kami berlindung daripada Allah Ta‘ala daripada yang sedemikian.

Berdasarkan syarat yang pertama ini, hendaklah kita pastikan bahawa setiap hadis yang digunakan untuk tujuan keutamaan beramal dan memberi anjuran serta amaran memiliki sumber rujukannya serta dijelaskan darjatnya. Tidak boleh disampaikan sesuatu hadis dengan sangkaan ia memiliki rujukan dan darjat yang paling rendah adalah ringan kelemahannya kerana sangkaan seperti ini termasuk dalam kategori mendustakan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam.

Umpamakan hal ini seperti seorang jurujual yang mempromosi sebuah buku. Dia menceritakan kepada para pelanggannya bahawa buku tersebut adalah baik serta banyak maklumat yang benar lagi besar manfaatnya. Padahal si jurujual itu sendiri pada asalnya tidak pernah membaca buku tersebut untuk membezakan sama ada ia adalah baik atau tidak, jauh sekali daripada mengkaji maklumat di dalamnya sama ada ia adalah benar atau tidak. Nah, apa yang dipromosikan oleh si jurujual ini terbuka kepada kemungkinan benar dan salah. Namun oleh kerana dia tetap membuat promosi tanpa menerangkan hakikat yang sebenar, dia sebenarnya berdusta kepada para pelanggannya.

Demikianlah juga dengan seseorang yang menyampaikan hadis Nabi shallallahu 'alaihi wasallam tanpa dia sendiri mengetahui asal usul dan darjatnya. Apa yang disampaikannya terbuka kepada kemungkinan benar atau salah. Namun apabila dia tetap menyampaikan hadis tersebut dan menyandarkannya kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, dia juga dikira berdusta ke atas baginda. Oleh itu hendaklah kita sentiasa peka kepada syarat yang pertama ini, sama ada kita adalah sebagai penyampai atau penerima hadis-hadis Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Pastikan ia memiliki sumber rujukan dan dijelaskan darjatnya. Jika syarat yang pertama ini tidak dipenuhi, hendaklah hadis tersebut ditinggalkan sekalipun ia memiliki kedudukan yang masyhur di kalangan masyarakat.

3.2 Ulasan kepada syarat kedua.

Hadis dha‘if tidak boleh digunakan untuk menetapkan sesuatu amalan, perintah atau larangan. Peranan hadis dha‘if tidak lain sekadar menerangkan keutamaan satu amalan yang telah ditetapkan oleh al-Qur’an dan/atau hadis yang sahih. Hadis dha‘if juga tidak boleh digunakan untuk menganjur atau melarang sesuatu perkara melainkan perkara tersebut telah tetap hukumnya daripada al-Qur’an dan/atau hadis yang sahih. Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah (728H) berkata:[6]

Berkata (al-Imam) Ahmad bin Hanbal, apabila datang (persoalan) halal dan haram kami memperketatkan semakan sanad dan apabila datang (persoalan) memberi anjuran dan amaran (al-Targhib wa al-Tarhib) kami memudahkan semakan sanad. (Ibn Taimiyyah mengulas lanjut): Demikianlah apa yang disepakati oleh para ilmuan tentang beramal dengan hadis dha‘if dalam keutamaan beramal. Ia tidaklah bermaksud menetapkan hukum sunat berdasarkan hadis yang tidak boleh dijadikan hujah dengannya (kerana ia adalah dha‘if). Ini kerana “sunat” merupakan hukum syari‘at yang tidak boleh ditetapkan melainkan dengan dalil syari‘at juga. Sesiapa yang mengkhabarkan daripada Allah bahawasanya Dia menyukai (menyunatkan) sesuatu amal tanpa dalil syari‘i maka sungguh dia telah mensyari‘atkan dalam agama apa yang tidak diizinkan Allah.

Sebagai contoh, hadis-hadis berkenaan puasa pada bulan Rejab dan solat khusus pada malam-malam tertentu bulan Rejab semuanya tidak ada yang sahih. Syaikh Sayid Sabiq menegaskan:[7]

Berkenaan puasa pada bulan Rejab, tidak ada kelebihan yang menonjol (tentang bulan Rejab) berbanding bulan-bulan lain, kecuali bahawa ia termasuk daripada bulan-bulan haram (yakni bulan Zulqa‘idah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab). Tidak diterima dalam sunnah yang sahih bahawa berpuasa dalam bulan Rejab memiliki keutamaan yang khusus. Adapun apa yang datang tentangnya (keutamaan berpuasa pada bulan Rejab), ia tidak dapat dipertanggungjawabkan sebagai hujah. Berkata (al-Hafiz) Ibn Hajar (al-Asqalani), tidak diterima (apa-apa) hadis yang sahih yang dapat dijadikan hujah tentang keutamaannya (bulan Rejab), mahupun tentang puasanya dan puasa pada hari-hari tertentu daripadanya mahupun solat pada malam yang tertentu daripadanya.

Apabila tidak wujud hadis yang sahih yang menetapkan wujudnya “Puasa sunat Rejab” dan “Solat malam Rejab yang ke sekian-sekian hari”, hadis-hadis yang menerangkan keutamaan berpuasa dan bersolat pada bulan Rejab tidak memiliki apa-apa nilai. Yang lebih penting, ia tidak boleh dijadikan dalil untuk menghukum sunat berpuasa dan bersolat secara khusus kerana bulan Rejab.

Sebenarnya terdapat banyak lagi amalan yang dilakukan oleh umat Islam berdasarkan hadis yang dha‘if tanpa diperhatikan sama ada amalan tersebut terlebih dahulu telah ditetapkan atau tidak oleh dalil al-Qur’an dan/atau hadis yang sahih. Setakat ini berdasarkan ulasan kepada syarat yang pertama dan kedua, hendaklah setiap orang yang ingin beramal dengan hadis dha‘if menyemak terlebih dahulu bahawa:

1. Hadis yang ingin dijadikan sumber amalan memiliki rujukan dalam kitab yang asal dan telah disemak bahawa ia sekurang-kurangnya memiliki darjat kelemahan yang ringan.

2. Amalan tersebut telah ditetapkan berdasarkan dalil al-Qur’an dan/atau hadis yang sahih manakala hadis yang lulus syarat pertama di atas tidak lain hanyalah untuk menerangkan keutamaan amalan tersebut.

3.3 Ulasan kepada syarat ketiga

Apabila menggunakan hadis dha‘if yang telah memenuhi dua syarat yang pertama di atas, hendaklah diingati bahawa tidak boleh berkeyakinan hadis tersebut adalah sabit daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Berdasarkan syarat yang ketiga ini, para ahli hadis telah menetapkan bahawa hadis yang dha‘if tidak boleh disandarkan sebutannya kepada diri Rasulullah secara jelas tetapi perlu diisyaratkan kelemahannya.

Misalnya, tidak boleh berkata: “Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda bahawa……” tetapi hendaklah berkata: “Dalam kitab Mu’jam al-Kabir oleh al-Imam al-Thabarani, terdapat sebuah hadis dha‘if yang berbunyi ……” atau apa-apa lain yang seumpama. Al-Imam al-Nawawi menjelaskan:[8]

Berkata para ilmuan peneliti (al-Muhaqqiqun) daripada kalangan ahli hadis dan selain mereka, apabila sebuah hadis adalah dha‘if tidak boleh dikatakan terhadapnya “Telah bersabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam …” atau “Rasulullah telah berbuat…” atau “Rasulullah telah memerintahkan…” atau “Rasulullah telah melarang…” atau “Rasulullah telah menghukum…” dan apa-apa lain yang menyerupainya daripada bentuk kalimah yang menunjukkan kepastian.

Demikian juga, tidak boleh dikatakan terhadap (hadis dha‘if tersebut) “Diriwayatkan oleh Abu Hurairah…” atau “Berkata Abu Hurairah…” atau “Disebut oleh Abu Hurairah…” atau “Dikhabarkan oleh Abu Hurairah…” atau “Dihadiskan oleh Abu Hurairah…” atau “Dinukil oleh Abu Hurairah…” dan apa-apa lain yang menyerupainya. Demikian juga, tidak boleh dikatakan yang seumpama terhadap para tabi’in dan orang-orang sesudah mereka terhadap apa yang dha‘if. Tidak boleh berkata terhadap apa jua riwayat yang dha‘if dengan kalimah yang menunjukkan kepastian.

Sesungguhnya yang (boleh) dikatakan hanyalah “Diriwayatkan daripadanya…” atau “Dinukil daripadanya…” atau “Dihikayatkan daripadanya…” atau “Didatangkan daripadanya…” atau “Disampaikan daripadanya…” ……… dan apa yang menyerupainya daripada kalimah yang menunjukkan kelemahan, tidak daripada kalimah yang menunjukkan kepastian.

Mereka (para ilmuan peneliti) berkata, kalimah yang menunjukkan kepastian ditujukan untuk hadis yang sahih atau hasan manakala kalimah yang menunjukkan kelemahan ditujukan kepada apa yang selain daripada kedua-dua (bukan hadis sahih dan bukan hadis hasan).

Amat penting untuk mengisyaratkan kedha‘ifan hadis tersebut agar:

1. Orang ramai dapat mengetahui bahawa si penyampai telah menyemak sumber dan darjat hadis tersebut,

2. Orang ramai tidak menganggapnya sebagai sebuah hadis yang sahih,

3. Orang ramai tidak menetapkan hukum berdasarkan hadis tersebut,

4. Seandainya wujud kemusykilan dalam maksud hadis tersebut, ia tidak mengelirukan orang ramai kerana mereka tahu ia tidak sahih.

Jika syarat ketiga ini tidak diperhatikan, orang ramai tidak akan dapat membezakan antara hadis yang sahih dan tidak sahih. Akibatnya mereka akan mengamalkan hadis tersebut sebagai sumber hukum dan menyebarkannya kepada masyarakat dengan anggapan ia adalah benar dan baik. Akhirnya ia akan menjadi masyhur dan sebati di dalam masyarakat dan menganggapnya sebahagian daripada syari‘at Islam. Ini sama-sama dapat kita perhatikan di negara kita sendiri masa kini. Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani rahimahullah mengingatkan tentang natijah buruk ini kira-kira 500 tahun yang lalu:[9]

Sedia dikenali bahawa para ahli ilmu mempermudahkan penerimaan hadis dalam bab keutamaan (al-Fadha’il) sekalipun di dalamnya memiliki kelemahan selagi mana ia bukan hadis maudhu’. Namun disyaratkan bagi orang yang mengamalkannya bahawa dia yakin hadis tersebut adalah dha‘if dan dia tidak memasyhurkannya kerana dibimbangi seseorang lain akan beramal dengan hadis yang dha‘if tersebut (tanpa mengetahui ia adalah dha‘if) sehingga mensyari‘atkan apa yang tidak disyari‘atkan atau dia meriwayatkannya kepada sebahagian orang yang jahil sehingga disangkakan ia adalah sunnah yang sahih.

Demikianlah ulasan kepada tiga syarat penting yang perlu diperhatikan oleh setiap orang yang ingin menggunakan hadis dha‘if. Apabila sesebuah hadis telah lulus tiga syarat di atas, terdapat dua perkara tambahan yang perlu diperhatikan, iaitu:

4. Memberi prioriti kepada hadis sahih dan hasan

Jika di dalam sebuah bab terdapat hadis-hadis yang sahih, hasan dan dha‘if, maka hendaklah seseorang itu memberi prioriti kepada yang sahih dan hasan sahaja. Sebabnya:

1. Hadis yang sahih dan hasan adalah sabit daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam manakala hadis yang dha‘if masih terbuka kepada kemungkinan benar dan salah. Maka berpegang kepada yang pasti adalah lebih utama daripada yang diragui.

2. Menyibukkan diri dengan hadis yang dha‘if lazimnya akan menyebabkan hadis yang sahih dan hasan terpinggir. Ini kerana setiap individu memiliki kemampuan yang terhad. Jika kemampuan itu dipenuhi dengan menyibukkan diri dengan hadis dha‘if, maka hadis yang sahih dan hasan akan tercicir daripada dirinya.

Poin kedua di atas pernah diulas oleh al-Imam ‘Abd al-Rahman bin Mahdi rahimahullah (198H): [10]

Tidaklah wajar seseorang itu menyibukkan dirinya dengan menulis hadis-hadis yang dha‘if kerana kesibukannya itu akan mengakibatkan tercicirnya hadis daripada para perawi yang thiqah (terpercaya = hadis sahih) sebanyak hadis daripada perawi lemah yang ditulisnya.

Izinkan penulis memberi satu contoh. Setiap tahun ketika tibanya Nisfu Sya’ban, ada di antara kita yang berpuasa, bersolat malam, membaca surah Yasin tiga kali dengan doa tertentu di antaranya dan pelbagai lagi. Semua amalan ini sebenarnya tidak pernah ditetapkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Hadis-hadis yang menganjurkannya tidak ada yang sahih dan tidak boleh dijadikan dasar bagi menetapkan sesuatu amalan. Syaikh Yusuf al-Qaradhawi hafizahullah menukil kata-kata al-Imam Ibn al-‘Arabi rahimahullah (543H) dalam persoalan ini:[11]

Tidak ada sebuah hadis jua yang dipercayai kesahihannya mengenai keutamaan malam Nisfu Sya’ban. Jika kita (hendak) menerima hadis-hadis yang menerangkan keutamaan malam Nisfu Sya’ban dan kita hendak memperingatinya dengan amal kebajikan, maka hal ini tidak pernah berasal daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mahupun daripada para sahabat radhiallahu ‘anhum dan kaum muslimin abad-abad pertama. Padahal mereka semua termasuk umat Islam yang terbaik.

Daripada semua sumber tersebut tidak ada riwayat yang menerangkan bahawa malam Nisfu Sya’ban diperingati dengan berkumpul di masjid-masjid, membaca doa-doa tertentu dan melakukan solat-solat khusus seperti yang kita saksikan di beberapa negeri kaum muslimin. Bahkan di beberapa negeri sejumlah orang berkumpul sesudah solat Maghrib di masjid-masjid lalu membaca surah Yasin, solat dua rakaat dengan niat memohon panjang umur, ditambah dua rakaat lagi dengan doa dijauhkan ketergantungan hidup daripada orang lain, kemudian mereka membaca doa panjang lebar yang tidak berasal daripada seorang pun daripada kalangan Salaf. Doa yang mereka baca itu pula menyalahi nas-nas (al-Qur’an dan al-Sunnah) serta mengandungi hal-hal yang saling berlawanan maksudnya.

Dalam kesibukan kita membaca, menyebar dan mengamalkan hadis-hadis yang dha‘if berkenaan malam Nisfu Sya’ban, kita telah keciciran sebuah hadis yang sahih mengenainya. Hadis tersebut ialah: “Allah akan memperhatikan semua makhluk pada malam Nisfu Sya’ban, maka Dia mengampuni semua makhluknya kecuali orang musyrik dan yang bermusuhan (sesama sendiri).”

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Imam Ibn Hibban, berkata Syaikh Syu‘aib al-Arna’uth hafizahullah dalam semakannya ke atas Shahih Ibn Hibban (Muassasah al-Risalah, Beirut 1997) jld. 12, ms. 481, no: 5665: “Hadis sahih bi syawahid.” Hadis ini juga dihimpun oleh al-Imam al-Munziri rahimahullah (656H) dalam kitabnya al-Targhib wa al-Tarhib (Dar Ibnu Katsir, Damsyik 1999), jld. 2, ms. 51, no: 1517. Berkata para penyemak: Shaikh Samir Ahmad al-‘Athar, Yusuf Ali Badiwi & Muhyiddin Dibb Matsu: “Sahih bi syawahid.” Berkata Syaikh al-Albani dalam Shahih al-Targhib wa al-Tarhib (Maktabah al-Ma‘arif, Riyadh 2000), jld. 1, ms. 597, no: 1026: “Hasan Sahih.”

Sama-sama kita bertanya kepada diri kita, adakah kita mengetahui tentang hadis ini? Adakah selama ini hadis di atas tersembunyi atau tercicir daripada pengetahuan kita kerana selama ini kita sibuk dengan pelbagai hadis lain, yang tidak satu jua yang sahih, berkenaan malam Nisfu Sya’ban? Lebih jauh, sudahkah kita mengamalkan hadis ini?

Mengamalkan hadis ini bukanlah dengan berpuasa, bersolat malam, berzikir, berdoa dan sebagainya. Akan tetapi beramal dengannya ialah kita melayakkan diri kita supaya memperoleh pengampunan Allah Subhanahu wa Ta‘ala pada malam Nisfu Sya’ban. Terdapat dua syarat kelayakan, yang pertama kita lulus, alhamdulillah. Yang kedua perlu kita pastikan bahawa kita tidak bermusuhan dengan sesiapa di kalangan umat Islam. Jika ada, mungkin saudara, jiran, rakan kerja dan sebagainya, hendaklah kita bermaafan dan menghubungkan semula silraturahim. Inilah cara “mengamalkan” hadis sahih di atas berkenaan malam Nisfu Sya’ban.

5. Hadis dha‘if tidak boleh dijadikan ukuran nilai sesuatu amal

Kepentingan atau keburukan sesuatu amal tidak boleh diukur berdasarkan hadis-hadis dha‘if sahaja. Sering kali para penulis dan penceramah begitu ghairah menyampaikan hadis-hadis dha‘if dalam memberi anjuran dan amaran tanpa disedari bahawa anjuran dan amaran tersebut nilainya telah dilebih-lebihkan daripada apa yang sepatutnya. Mereka menganggap hal ini akan memberi manfaat kepada umat tetapi yang benar adalah di sebaliknya. Ganjaran yang dibesar-besarkan kepada amalan yang kecil akan mengakibatkan seseorang itu meremehkan agama, dengan anggapan memadailah dia membuat amalan yang sedikit kerana ganjarannya sudah lebih dari mencukupi. Sedangkan amaran yang dibesar-besarkan terhadap kesalahan yang kecil akan menyebabkan seseorang itu menjauhkan diri daripada Allah dan merasa putus asa daripada keampunan-Nya. Syaikh Yusuf al-Qaradhawi menerangkan hal ini dengan lebih lanjut:[12]

Hadis-hadis yang memberi anjuran dan amaran (al-Targhib wa al-Tarhib), sekalipun tidak memuat hukum halal atau haram, ia memuat sesuatu lain yang sangat penting dan berbahaya, iaitu ia merosakkan nilai amal atau kewajiban yang telah ditentukan oleh Pembuat syari'at Yang Maha Bijaksana. Setiap amal yang diperintahkan ataupun dilarang memiliki “nilai” tertentu di sisi Pembuat syari'at dalam kaitannya dengan amal-amal yang lain. Kita tidak boleh melampaui had yang telah ditentukan oleh Pembuat syari'at sama ada dengan menurun atau menaikkannya.

Di antara hal yang sangat berbahaya ialah memberi nilai sebahagian amalan lebih besar dan banyak daripada ukurannya yang sebenar dengan membesar-besarkan pahalanya sehingga mengalahkan amalan lain yang lebih penting dan lebih tinggi derajatnya dalam pandangan agama. Demikian juga memberikan kepentingan kepada amalan yang dilarang dengan membesar-besarkan seksanya sehingga mengalahkan amalan lainnya.

Membesar-besarkan dan melebih-lebihkan janji pahala dan ancaman siksa akan mengakibatkan rosaknya gambaran agama di mata sebahagian orang karena mereka akan menyandarkan apa yang mereka dengar atau baca tersebut kepada agama padahal agama itu sendiri bebas dari semua itu. Seringkali tindakan melebih-lebihkan, terutama dalam soal ancaman, akan menimbulkan akibat yang sebaliknya dan kegoncangan jiwa. Bahkan seringkali orang yang berlebih-lebihan itu akan menjauhkan diri mereka daripada-Nya (kerana putus asa dan merasa tidak layak memperoleh keampunan Allah ke atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan)

Kita wajib menjaga amal perbuatan sesuai dengan tingkatan-tingkatannya yang telah digariskan oleh syari‘at tanpa terjerumus ke dalam tindakan melebih-lebihkan. Ini hanya akan membawa kita kepada salah satu dari dua bentuk pelampauan, sama ada yang menambah atau mengurang, sebagaimana yang dikatakan oleh ‘Ali bin Abu Thalib radhiallahu 'anh: “Kalian harus mengambil sikap pertengahan, yang kepadanya orang tertinggal harus disusulkan dan kepadanya pula orang yang berlebihan harus dikembalikan.

Berdasarkan tiga syarat pengamalan hadis dha‘if dan dua perkara tambahan yang perlu diperhatikan, sama-sama dapat diambil iktibar bahawa menggunakan hadis dha‘if tidaklah semudah yang disangka. Hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah salah satu sumber syari‘at di sisi al-Qur’an al-Karim. Maka kita perlu berinteraksi dengannya melalui disiplin-disiplin yang telah digariskan oleh para ahli hadis. Apa yang Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sabdakan berkenaan agama tidak lain adalah wahyu Allah. Apabila kita bersikap leka dalam berinteraksi dengan hadis-hadis baginda, kita bukan sahaja mendedahkan diri kepada kemungkinan berdusta di atas nama Rasulullah tetapi juga berdusta di atas nama Allah.

Oleh itu hendaklah setiap individu memberi perhatian khusus dalam bab ini. Jangan menerima sebarang hadis sekalipun yang menyampaikannya adalah orang yang masyhur di mata masyarakat. Pastikan bahawa setiap hadis yang disampaikan mematuhi syarat-syarat di atas. Apabila membaca buku-buku agama, pastikan setiap hadis diberikan rujukan, lengkap dengan nombor hadis dan bab. Jangan berpuas hati dengan catitan “Hadis riwayat al-Bukhari” atau “HR Muslim” kerana terdapat sebahagian penulis yang berbuat demikian padahal hadis tersebut tidak wujud di dalam kitab Shahih al-Bukhari dan Shahih Muslim.

Apabila mendengar khutbah, kuliah, ceramah dan sebagainya, jangan segan-segan bertanya kepada penyampainya: “Ustaz, hadis yang ustaz sebut itu siapa yang meriwayatkannya dan apa darjatnya?” atau apa-apa lain yang seumpama. Setiap mukmin yang bertanggungjawab terhadap Allah dan Rasul-Nya berhak untuk bertanya dan setiap penyampai yang bertanggungjawab terhadap Allah dan Rasul-Nya tidak boleh merasa ego untuk menjawab. Akan tetapi jika penyampai tersebut tidak ingat pada saat itu, berilah dia tempoh untuk menyemak semula agar dia dapat menjelaskannya pada masa yang akan datang.

Tanpa berlebih-lebihan, penulis menganjurkan para pembaca sekalian meninggalkan mana-mana penulis dan penyampai agama yang tidak berdisiplin dalam mengemukakan hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Kita perlu bertegas dalam hal ini, bukan sahaja supaya amalan kita sentiasa berada di atas ukuran yang benar tetapi supaya para penulis dan penyampai tersebut tidak mengambil mudah perkara ini.

6. Rujukan:

[1] al-Azkar (diteliti oleh ‘Amr bin ‘Ali Yasin; Dar Ibn Khuzaimah, Riyadh 2001), ms. 53
[2] al-Qaul al-Badi’ fi Fadhli Shalat ‘ala al-Habib al-Syafi’ (diteliti oleh Muhammad ‘Awwamah; Muassasah al-Rayan, Beirut 2002), ms. 473
[3] al-Qaul al-Badi’, ms. 472
[4] al-Majruhin min al-Muhadditsin (diteliti oleh Hamidi bin ‘Abd al-Rahman; Dar al-Shomi‘in, Riyadh 2000), jld. 1, ms. 16-17
[5] Musykil al-Atsar (diteliti oleh Muhammad ‘Abd al-Salah Syahin; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1995), jld. 1, ms. 123
[6] Majmu’ al-Fatawa (Dar al-Wafa’, Kaherah 2001), jld. 18, ms. 65
[7] Fiqh al-Sunnah (Dar al-Fath, Kaherah 1999), jld. 1, ms. 516
[8] al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab (diteliti oleh Muhammad Najib Ibrahim; Dar Ihya’ al-Turats al-‘Arabi, Beirut 2001), jld. 1, ms. 134
[9] Tabyin al-‘Ujab bi ma warada fi Fadhli Rejab, ms. 3-4; dinukil daripada Tamam al-Minnah fi al-Ta’liq ‘ala Fiqh al-Sunnah oleh Syaikh al-Albani rahimahullah (1999) (Dar al-Rayah, Riyadh 1409H), jld. 1, ms. 36
[10] Diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi (463H) dalam al-Kifayah fi ‘Ilm al-Riwayah (Maktabah al-‘Alamiyah, Madinah), ms. 132
[11] Fatawa Mu‘ashirah (edisi terjemahan oleh al-Hamid al-Husaini dengan judul Fatwa-Fatwa Mutakhir; Pustaka Hidayah, Bandung 1996), ms. 480-481
[12] al-Muntaqa min Kitab al-Targhib wa al-Tarhib li al-Munziri (Dar al-Wafa’, Kaherah 1993), jld. 1, ms. 49-50

http://fiqh-sunnah.blogspot.com/search/label/Hadis

Saturday, February 26, 2011

Apakah kepentingan kita mengetahui sama ada sesuatu hadis itu sahih atau tidak?


Apakah kepentingan kita mengetahui sama ada sesuatu hadis itu sahih atau tidak?

Jawapan:

Mengetahui kesahihan sesuatu hadis adalah penting. Ia bukan sahaja penting, malah ia merupakan kewajipan yang dituntut ke atas umat Islam. Menurut dua orang pengkaji hadis masa kini – Abd. Qadir al Arnaouth (2004M) dan Syuaib al Arnaouth – dalam muqaddimah bagi kajian mereka terhadap buku Zad al Ma’ad Fi Hadyi Khair al Ibad karya Ibn Qayyim al Jauziyyah (751H):

Persoalan kajian tentang hadis sahih dan dhaif adalah persoalan yang memerlukan perhatian yang lebih daripada perkara-perkara lain. Khasnya pada zaman ini di mana ilmu ini hampir pupus dan amat jarang kita temui orang yang mampu melakukannya dan bersabar atas segala susah payahnya. Maka kita dapati banyak hadis-hadis dhaif dan palsu yang berlegar di mulut-mulut orang ramai iaitu daripada kalangan para khatib, guru-guru dan penulis-penulis. Hadis-hadis ini diambil oleh orang ramai seterusnya dipercayainya sebagai hadis sahih dan diamalkannya [1].

Di sini elok kita melihat kata-kata Pengerusi Majlis Fatwa Eropah yang juga merupakan ahli fiqh terkenal pada zaman ini iaitu Yusof al Qaradhawi yang menyebut:

Sesungguhnya hadis dhaif tidak digunakan sebagai dalil dalam menentukan hukum[2].

Seorang imam hadis yang terkenal, Muslim pernah menyebut bahawa:

Dan ketahuilah, semoga ALLAH memberikan kamu petunjuk, bahawa sesungguhnya satu kewajipan kepada setiap orang yang telah mengetahui cara membezakan di antara riwayat yang sahih dan yang dhaif serta mampu membezakan antara periwayat-periwayat yang dipercayai dengan yang dikritik (dhaif) supaya tidak meriwayatkan melainkan riwayat yang diketahui kesahihannya dan kebaikan periwayatnya. Dan dia perlu mengelakkan dari riwayat-riwayat yang datang dari orang-orang yang dikritik dan orang-orang yang melakukan bid’ah[3].

[1]Zad al Ma’ad Fi Hadyi Khair al ‘Ibad – Ibnu Qayyim al Jauziyyah – jilid 1 – muka surat 11 – cetakan ketiga 1998 – Muassasah al Risalah)

[2]Taisir al Fiqh Li al Muslim al Mu’ashir – Yusof al Qaradhawi – muka surat 58 – cetakan pertama tahun 2000 – Muassasah al Risalah, Beirut

[3]Pendahuluan Sahih Muslim.

http://hafizfirdaus.com/ebook/20asashadis/isu11.htm

Sunday, June 27, 2010

PALSU: Hadith Rejab Bulan Allah, Sya’ban Bulan Nabi

Hadith Rejab Bulan Allah, Sya’ban Bulan Nabi

Disiarkan pada Jun 16, 2010 dalam kategori Fatwa |

**Soal jawab lama yang dipaparkan semula untuk pembacaan.

Soalan: Saya keliru mengenai hadith yang selalu disiarkan oleh media kita apabila datang bulan Rejab dan Sya’ban:“Rejab bulan Allah, Sya`aban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”, ada kata sahih, ada kata bukan, tapi ramai juga penceramah yang selalu baca. Apakah kedudukan hadith ini sebenarnya?



Jawapan: Ini adalah hadith palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha`if, m.s. 95, Syria: Maktab al-Matbu`at al-Islamiyyah)



Nama penuhnya Ibn Jahdam ialah `Ali bin `Abdillah bin Jahdam al-Zahid. Beliau meninggal pada tahun 414H. Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadith palsu mengenai solat Raghaib (iaitu solat pada jumaat pertama bulan Rejab). (lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-`Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5, m.s. 173,Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).



Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H) menyebut:

Ada beberapa golongan yang membuat hadith palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi). Mereka ini membuat hadith palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka. Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadith mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. AlhamdulilLah. (Ibn al-Salah, `Ulum al-Hadith, m.s. 99, Beirut: Dar al-Fikr al-Mu’asir)

Golongan penceramah, imam, khatib, dan media massa hendaklah berhati-hati agar tidak menjadi agen penyebaran hadith-hadith palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan disunatkan pada bulan-bulan tersebut. Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H):

Hadith-hadith mengenai solat Raghaib pada jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w. Begitu juga semua hadith mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga hadith-hadith mengenai solat pada malam Nisfu Sya`aban (kesemuanya adalah palsu). Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).

Allah Lebih Mengetahui
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

http://drmaza.com/home/?p=1157

*MOHON DISEBARKAN..

_________________________________________

Source: http://www.facebook.com/pages/-Jom-Belajar-Agama-Online/115980465093224

♥ LA TAHZAN BLOG: http://www.latahzan00.blogspot.com/
___________________________________________________________________

Anda disarankan untuk membaca artikel ini;

Tajuk: "Hidup Berdiri Atas Cinta"

Klik Link: http://drmaza.com/home/?p=1159
___________________________________________________________________

Sekiranya anda terdapat pertanyaan isu Agama, bertanya di sini;

Klik Link: http://al-fikrah.net/
___________________________________________________________________

ontoh HADIS DHAIF & PALSU yang tersebar. (mesti baca)

CONTOH HADIS PALSU YANG TERSEBAR


Soalan:



Apakah contoh-contoh hadis dhaif dan palsu yang telah tersebar dalam masyarakat?



Jawapan:



Berikut saya senaraikan beberapa contoh hadis-hadis yang popular di dalam masyarakat. Sayangnya hadis-hadis yang popular ini pada hakikatnya adalah dhaif atau palsu. Saya menyebutnya sebagai dhaif atau palsu dengan meletakkan komen dan hasil kajian para ulama hadis dulu dan kini untuk sama-sama diteliti dan difahami. Ini bermakna, bukanlah saya yang memandai-mandai mengatakan ia dhaif atau palsu, tetapi saya berpandukan kepada hasil kajian yang telah sedia ada di dalam buku-buku para ulama hadis. Bagi para pembaca, mereka dialu-alukan untuk membetulkan kesilapan saya sama ada dari segi penggunaan bahan rujukan atau kesilapan dalam terjemahan teks asalnya yang ditulis dalam bahasa arab.



Di samping itu saya juga selitkan sedikit ulasan bagi menjelaskan maksud hadis tersebut dan juga membincangkan adakah maksud hadis boleh diterima dan disokong oleh dalil-dalil daripada Al Quran atau hadis sahih. Walau bagaimana baik maksud sesuatu hadis yang dhaif atau palsu, hadis tersebut tetap tidak boleh dinyatakan atau ‘diiklankan’ sebagai ‘hadis sahih’ atau sebagai ‘sabda Nabi SAW’. Hadis tersebut mungkin boleh dianggap sebagai kata-kata hikmah atau nasihat yang baik sekiranya maksudnya tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Pembaca akan dapat melihat apa yang saya maksudkan dalam huraian setiap hadis.



Pertama:



Maksudnya: Tuntutlah ilmu walaupun hingga ke negeri China.



Kedudukan Hadis:

Ini adalah hadis palsu. Hadis ini telah disebutkan sebagai palsu oleh Ibn al Jauzi di dalam buku al Maudhu’at[1]. Pembaca juga boleh melihat buku Menangkis Pencemaran Terhadap Agama dan Tokoh-Tokohnya karya Mohd. Asri Zainul Abidin untuk mendapat maklumat lanjut tentang hadis ini. Hadis ini dikritik juga oleh pengkaji hadis seperti Ibnu Tahir al Maqdisi (507H)[2], al Iraqi[3], Ibn Hibban[4] dan Muhammad Nasiruddin al Albani[5].



Ulasan:

Hadis ini kerap dijadikan hujah bagi membuktikan bahawa Islam menggalakkan umatnya menuntut ilmu sejauh yang mungkin walaupun ke negara China. Sedangkan pada hakikatnya hadis ini adalah palsu. Telah ada dalil-dalil serta hujah-hujah yang jelas dalam Al Quran dan hadis-hadis sahih tentang kewajipan menuntut ilmu serta kelebihan mereka yang mempunyai ilmu. Terdapat ayat-ayat Al Quran yang mengiktiraf golongan yang berilmu contohnya:



Maksudnya : ALLAH mengangkat kedudukan orang-orang yang beriman dan yang mempunyai ilmu dengan beberapa darjat[6].



Begitu juga di dalam hadis-hadis sahih terdapat saranan ke arah menuntut ilmu antaranya seperti hadis:



Maksudnya: Sesiapa yang melalui jalan ke arah menuntut ilmu maka ALLAH mudahkan untuknya jalan ke syurga[7].



Maksudnya: Menuntut ilmu adalah kewajipan ke atas setiap muslim [8].



Telah diketahui umum bahawa menuntut ilmu adalah kewajipan dalam kehidupan umat Islam. Apa yang ingin saya sebutkan di sini adalah kesalahan menggunakan hadis palsu dalam menyatakan sesuatu perkara yang telah sedia ada dalam Islam sama ada di dalam Al Quran atau hadis-hadis sahih. Tindakan menggunakan hadis palsu ini boleh menjadikan kita lupa bahawa ayat Al Quran atau hadis sahih sudah pun memadai dan mencukupi untuk kita menyatakan sesuatu yang berkaitan dengan Islam. Berhati-hatilah dalam menggunakan sesuatu hadis. Pastikan bahawa hadis tersebut adalah sahih sebelum menggunakannya sebagai dalil atau hujah.



Kedua:


Maksudnya: Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad



Kedudukan Hadis:



Hadis ini adalah hadis palsu. Menurut Yusuf al Qaradhawi, walaupun maksud hadis ini benar, bukanlah bermakna itu adalah hadis yang benar-benar datang dari Nabi SAW[9]. Hadis ini juga ditolak kesahihannya sebagai sabda Nabi SAW oleh seorang pengkaji hadis zaman ini, Abd. Fattah Abu Ghuddah[10].





Ulasan:

Seperti yang telah disebutkan dalam komen saya terhadap hadis pertama, terdapat banyak dalil dalam Al Quran dan hadis-hadis yang sahih yang menyuruh dan menggalakkan umat Islam menuntut ilmu. Dalil-dalil itu sudah mencukupi dan kita tidak perlu lagi menggunakan hadis-hadis palsu yang direka. Penggunaan hadis-hadis palsu adalah salah walaupun dengan niat yang baik.



Wujudnya segolongan pendakwah atau penceramah yang tidak mendalami bidang hadis telah menyebabkan ramai pendengar yang terkeliru dengan hadis-hadis yang tidak sahih tetapi disangkanya sahih. Bahkan disangkanya hadis ini menjadi kaedah utama dalam agama Islam sehingga dia terlupa dalil yang sudah sedia ada dalam Al Quran dan hadis-hadis sahih. Pendakwah atau penceramah selalunya mencari jalan singkat untuk mengumpulkan bahan ceramahnya lalu mereka menggunakan buku-buku berbentuk akhlak atau buku cerita yang kadangkala tidak memperdulikan kesahihan fakta yang dimuatkan di dalamnya. Ada yang mengambil hadis-hadis daripada buku al Ghazali iaitu Ihya’ Ulumiddin yang sememangnya mengandungi banyak hadis dhaif dan palsu. al Iraqi telah berusaha untuk menyemak kembali hadis-hadis di dalam buku Ihya’ Ulumiddin dan mengkaji kesahihannya atau kedhaifannya. Segala kajian al Iraqi itu beliau muatkan di dalam bukunya berjudul al Mughni ‘An Hamli al Asfar dan jika kita membaca kajian beliau, kita akan dapati terlalu banyak hadis yang tidak sahih ada dalam buku al Ghazali itu.



Kepada pembaca buku Ihya’ Ulumiddin, saya nasihatkan supaya mereka melihat kajian al Iraqi dan memastikan adakah hadis itu sahih atau tidak. Terdapat beberapa versi buku Ihya’ Ulumiddin yang dicetak bersama dengan kajian al Iraqi sebagai nota kaki. Tidak ada sesiapa yang menyalahkan al Ghazali kerana kesilapannya dalam buku Ihya’ Ulumiddin kerana al Ghazali adalah manusia biasa yang tidak terlepas daripada kesilapan. Beliau berkemungkinan besar tidak tahu bahawa sesuatu hadis itu palsu lalu menyebutnya dalam Ihya’ Ulumiddin. Tetapi kita sebagai pembaca pada zaman ini perlulah mengelak dari menggunakan hadis-hadis palsu dalam Ihya’ Ulumiddin kerana kita telah pun tahu tentang kepalsuannya berdasarkan kajian al Iraqi serta ulama lain. Kita menghormati al Ghazali tetapi kita tidak akan mengulangi kesilapan yang beliau telah lakukan iaitu tersalah dalam menyebut hadis-hadis palsu yang disangka beliau sebagai sahih.



Ketiga:
Maksudnya: Tidur selepas subuh/ waktu pagi menghalang rezeki.



Kedudukan Hadis:

Hadis ini adalah hadis palsu. Hadis ini dilabelkan sebagai palsu oleh al Hasan Ibn Muhammad al Shoghoni dan disokong oleh ahli hadis masa kini, Abd. Fattah Abu Ghuddah[11]. Manakala di antara ulama yang melabelkan hadis ini sebagai sangat dhaif pula ialah al Haithami[12], Ahmad Syakir[13], Muhammad Nasiruddin al Albani[14] dan Syuaib al Arnaouth[15].





Ulasan:



Tiada tegahan dan tiada pula suruhan ke arah perkara ini. Perkara ini dilakukan mengikut kesesuaian keadaan dan keperluan. Sedangkan sesiapa sahaja yang ingin mencari hadis ini pasti akan menemui bahawa para ulama hadis yang terkenal telah mengkritik hadis ini sekaligus menjadikannya hadis yang tidak sahih. Ada pula yang berhujah bahawa logik akal menyokong hadis ini kerana orang yang bekerja akan lewat ke tempat kerja dan tidak dapat menjalankan tugas sekiranya tidur selepas subuh. Mereka seolah-olah lupa bahawa ada juga masyarakat kita yang bekerja pada waktu petang dan malam. Adakah mereka tidak dapat menjalankan tugas jika tidur selepas subuh?



Persoalan rezeki ini adalah persoalan besar dan untuk menyatakan sesuatu perkara itu menghalang rezeki, kita memerlukan hujah dan dalil yang kuat daripada Al Quran atau hadis sahih. Terdapat beberapa perkara lagi yang dikatakan menghalang rezeki seperti minum daripada gelas sumbing, menjahit baju di badan sendiri dan lain-lain lagi tetapi semuanya tidak mempunyai dalil atau hujah daripada Al Quran atau hadis sahih.



Keempat:

Kisah sahabat Nabi bernama Sa’labah ثعلبة yang tidak membayar zakat.



Kedudukan Hadis:

Hadis ini adalah hadis palsu. Maklumat lanjut ada di dalam buku al Sohih al Musnad Min Asbab al Nuzul karya Syeikh Muqbil bin Hadi al Wadii[16]. Buku ini merupakan antara hasil karya yang terbaik daripada Syeikh Muqbil yang merupakan seorang pengkaji hadis dari negara Yaman. Beliau berusaha mengumpulkan asbab nuzul (sebab-sebab ayat Al Quran diturunkan) yang sahih sahaja. Ini kerana sememangnya telah diketahui bahawa tidak semua asbab nuzul yang tercatat dalam buku-buku terdahulu adalah sahih. Menurut Syeikh Muqbil, kisah Sa’labah yang tidak membayar zakat ditolak kesahihannya oleh imam-imam hadis terkenal seperti Ibnu Hazm (al Muhalla) , al Suyuthi (Lubab al Nuqul) , Ibnu Hajar al Asqalani (Takhrij al Kasyaf dan Fath al Bari), al Haithami (Majma’ al Zawaaid), al Zahabi (Tajrid Asma’ al Sahabah), al Munawi (Faidh al Qadir) dan al Iraqi (al Mughni – takhrij Ihya’ Ulumiddin). Di dalam sanad hadis tersebut terdapat periwayat yang dikritik sebagai dhaif iaitu Ali bin Yazid al Alhani.



Syeikh Muqbil al Wadii juga menyatakan bahawa terdapat riwayat yang disebutkan daripada Ibnu Abbas yang menceritakan bahawa kisah ini adalah berkaitan dengan seorang sahabat bernama Sa’labah bin Abi Hathib dan bukan Sa’labah bin Hathib. Namun riwayat itu juga tidak sahih kerana bersumberkan daripada periwayat-periwayat yang tidak diterima.



Salah seorang ulama dan pendakwah terkemuka Mesir, Muhammad Hassan telah menyenaraikan beberapa hujah yang membuktikan bahawa kisah Sa’labah ini adalah kisah yang tidak benar. Hujah-hujah untuk mendhaifkan hadis ini disebut dalam salah satu ceramah beliau dan boleh didengari dari laman web www.islamway.com.



Kisah ini juga dikritik kesahihannya oleh Yusof al Qaradhawi dalam bukunya Kaifa Nata’amalu Ma’a al Sunnah al Nabawiyyah[17], Al Iraqi[18] dan Muhammad Nasiruddin al Albani[19].





Ulasan:



Boleh dikatakan semua ulama tafsir dan hadis yang terkenal telah mendhaifkan hadis ini. Tidak ada seorang ulama pun yang mengatakan kisah ini benar. Sayangnya hadis ini amat popular terutama dalam kalangan yang ingin mengajak masyarakat supaya membayar zakat serta tidak melengahkan pembayarannya. Kisahnya berkisar tentang seorang sahabat Nabi SAW yang bernama Sa’labah bin Hathib yang pada asalnya miskin. Namun setelah didoakan oleh Nabi SAW, dia telah menjadi kaya raya. Kekayaannya menjadikannya sombong dan enggan menunaikan zakat. Akhirnya beliau tidak diterima taubatnya oleh Rasulullah SAW kerana turunnya ayat daripada surah at Taubah. Selepas baginda wafat, para khalifah tidak ingin menerima zakat yang ingin diberikan oleh Sa’labah. Kisah ini adalah kisah yang tidak benar.



Azab siksa yang dijanjikan kepada mereka yang tidak membayar zakat telah ada disebutkan di dalam nas-nas yang sahih iaitu Al Quran dan hadis sahih. Oleh sebab itu kita melihat dalam sejarah Islam berlakunya peperangan yang dipimpin oleh khalifah pertama Islam , Abu Bakr al Siddiq menentang golongan yang tidak mahu membayar zakat.



Kelima:



Maksudnya: Sesiapa yang tidur selepas Asar lalu hilang akalnya, maka janganlah dia mencela melainkan dirinya sendiri.





Kedudukan Hadis:



Hadis ini adalah hadis dhaif seperti yang telah dihuraikan oleh al Albani di dalam bukunya Silsilah al Ahadith al Dhaifah[20]. Sebelum daripada al Albani, hadis ini juga telah didhaifkan oleh al Haithami[21].



Ulasan:



Setahu penulis, tidur selepas Asar belum dibuktikan kemudharatannya dari segi perubatan. Kalaulah sekiranya dapat dibuktikan dari segi perubatan bahawa perbuatan ini memberikan kesan kepada akal manusia, maka kita akan menyatakan bahawa ia dilarang berhujahkan kenyataan dari aspek perubatan tersebut dan bukannya berhujahkan hadis yang tidak sahih ini. Hadis dhaif dan palsu tetap tidak boleh dijadikan hujah atau dalil untuk melarang sesuatu perkara yang asalnya tidak dilarang.



Terdapat satu kisah berkaitan persoalan tidur selepas waktu Asar. Seorang imam fiqh dan hadis yang masyhur, al Laith bin Saad (175H) pernah ditegur oleh salah seorang rakannya kerana beliau mendapati al Laith tidur selepas Asar pada bulan Ramadhan. Rakannya itu membacakan hadis yang telah disebutkan di atas tadi (riwayat Ibnu Adi dalam buku al Kamil) sebagai hujah untuk menegur al Laith. Apabila al Laith mendengar sanad hadis itu dibaca, maka beliau telah mengesan satu kecacatan dalam hadis tersebut iaitu terdapat periwayat bernama Abdullah bin Lahi’ah yang meriwayatkan hadis itu daripada periwayat bernama Aqil. Al Laith lalu berkata: “Aku tidak akan meninggalkan perkara yang bermanfaat kepada diriku ini (tidur selepas Asar) hanya kerana hadis yang diambil dari jalan Ibnu Lahi’ah dari Aqil”. Maksud al Laith ialah beliau tidak akan meninggalkan tidur selepas Asar yang bermanfaat baginya hanya kerana satu hadis yang tidak sahih[22].



Keenam:
Maksudnya: Kebersihan itu separuh daripada iman.



Kedudukan Hadis:

Hadis ini telah dikritik dan dilabelkan sebagai hadis dhaif jiddan (sangat dhaif) oleh al Iraqi[23] dan dinyatakan sebagai palsu oleh al Albani[24] dengan lafaz yang hampir sama iaitu “kebersihan itu menyeru kepada keimanan”.





Ulasan:



Telah disepakati oleh semua orang yang mempelajari tentang Islam melalui sumber utamanya iaitu Al Quran dan hadis sahih bahawa Islam memang mementingkan kebersihan. Tetapi tidak ada hadis yang menyatakan bahawa “Kebersihan itu separuh daripada iman”. Kita perlu berhati-hati apabila menyebutkan sesuatu hadis dan tidak sekadar menyebutnya kerana maknanya bertepatan dengan ajaran Islam.



Terdapat satu perkara yang menarik yang saya pernah temui iaitu satu hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahih Muslim[25] dengan lafaz: الطهور شطر الإيمان yang diterjemahkan dengan maksud: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman”. Terjemahan sebegini saya temui di dalam salah sebuah majalah yang pernah saya baca. Sedangkan maksud hadis itu yang sebenar menurut kata para pengkaji hadis dalam buku-buku mereka ialah: “Bersuci dari hadas adalah separuh daripada solat”. Terdapat perselisihan pendapat tentang maksud hadis ini dalam buku Jami’ al Ulum wa al Hikam karya Ibnu Rejab al Hanbali (795H). Ibnu Rajab telah membincangkan maksud sebenar perkataanالطهور dan perkataan الإيمان dengan membawa banyak pendapat para ulama. Kesimpulan yang diambil oleh Ibnu Rajab ialah perkataan الطهور membawa maksud ‘bersuci daripada hadas’ dan maksudالإيمان pula ialah ‘solat’[26]. Maksud hadis ini betul, namun hakikat ini tidak bermakna kata-kata tersebut telah benar-benar diucapkan oleh Rasulullah SAW. Kita mesti berhati-hati dalam menyebut sesuatu berkaitan Rasulullah SAW[27].



Ketujuh:


Maksudnya: Perselisihan dalam umatku adalah rahmat.



Kedudukan Hadis:

Hadis ini telah dikategorikan oleh beberapa orang ulama hadis sebagai tidak ada asalnya. Perkataan ini bermaksud tidak ada asal usulnya dalam mana-mana buku hadis. Begitulah pendapat yang dikemukakan oleh al Subki sebagaimana dicatatkan oleh al Albani dalam bukunya Silsilah al Ahadith al Dhaifah[28]. Al Iraqi juga menolak kesahihan hadis ini[29].





Ulasan:



Hadis ini telah menyatakan bahawa menjadi satu rahmat bagi kita jika kita berselisih pendapat. Ini adalah pandangan yang perlu diteliti dengan mendalam kerana kita amat yakin bahawa perselisihan selalunya membawa kepada perpecahan. Ibn Hazm dalam bukunya al Ihkam Fi Usul al Ahkam telah menyatakan bahawa jika sekiranya perselisihan itu rahmat, maka sudah pasti permuafakatan pula akan menjadi satu perkara yang tidak dirahmati. Ini adalah pendapat yang tidak benar sama sekali[30].



Ada sesetengah penulis yang menafsirkan perselisihan dalam hadis ini dengan maksud perselisihan dalam bidang fiqh dan bukan perselisihan dalam bidang aqidah. Tafsiran sebegini adalah tepat tetapi pada pandangan penulis, kita tidak perlu membuat tafsiran sebegini kerana hadis ini bukanlah hadis yang sahih. Tafsiran sebegini diperlukan sekiranya hadis ini sahih dan kita tidak dapat memahami maksudnya. Ada pun sekiranya sesuatu hadis itu tidak sahih, tidak perlulah kita bersusah payah hendak memahaminya. Tumpukan usaha kita kepada hadis yang sahih sahaja. Wallahu a’lam.


Kelapan:


Maksudnya: Sabar itu separuh daripada iman



Kedudukan Hadis:

Menurut Ibn Rajab al Hanbali, ini adalah kata-kata sahabat dan bukan hadis Nabi SAW[31]. Di antara yang menyebutnya sebagai hadis Nabi SAW ialah al Ghazali dalam bukunya Ihya’ Ulumiddin. Menurut al Iraqi yang mengkaji hadis-hadis Ihya’ Ulumiddin, hadis tersebut adalah dhaif[32]. Begitu juga dengan al Albani yang menyatakannya sebagai sangat dhaif[33]. Menurut al Baihaqi dan al Zubaidi, kata-kata ini mauquf (kata-kata sahabat)[34].



Ulasan:



Memandangkan bahawa kata-kata ini adalah kata-kata sahabat dan melihat kepada maksudnya yang tidak menyalahi mana-mana asas dalam Islam, maka boleh diucapkan dan disebarkan kepada masyarakat. Apa yang perlu ialah menyatakannya sebagai kata-kata sahabat atau kata-kata hikmah dengan tidak menyatakannya sebagai hadis Nabi SAW. Kita juga mesti mengutamakan ayat-ayat Al Quran yang menceritakan perihal kesabaran dan kepentingannya seperti ayat-ayat di dalam surah Luqman yang menceritakan nasihat Luqman kepada anaknya yang antara lainnya mengandungi nasihat supaya bersabar di atas segala ujian yang menimpa diri. Begitu juga dengan hadis-hadis sahih yang menceritakan soal kesabaran dan pahala orang-orang yang sabar. Itu mesti didahulukan daripada kata-kata hikmah atau kata-kata sahabat agar masyarakat sentiasa memahami kewajipan mendahulukan Al Quran dan hadis sahih dalam kehidupan.


Kesembilan:

Maksudnya: Kita telah pulang dari jihad yang kecil ( peperangan) dan kita menuju kepada jihad yang lebih besar/paling besar. Para sahabat berkata: Apakah jihad yang paling besar? Rasulullah berkata: Jihad menentang hawa nafsu.



Kedudukan Hadis:

Hadis ini telah dinilai sebagai hadis dhaif oleh Syuaib al Arnaouth ketika beliau menyemak hadis-hadis di dalam buku Jami’ al ‘Ulum Wa al Hikam tulisan Ibn Rajab al Hanbali[35].Beliau telah mengambil pandangan Ibnu Hajar al Asqalani yang menyatakan bahawa kata-kata ini ialah kata-kata seorang ulama tabiin yang bernama Ibrahim Bin ‘Ablah.

Menurut al Albani dalam Silsilah al Ahadith al Dhaifah: Munkar. Al Albani telah menukilkan kata-kata Ibnu Taimiyyah (728H) dalam Majmu’ al Fatawa:



Tidak ada asalnya (hadis tersebut) dan tidak diriwayatkan oleh pakar-pakar yang mengetahui tentang kata-kata Nabi SAW dan perbuatan baginda. Dan memerangi orang-orang kafir (jihad) adalah sebesar-besar amalan bahkan merupakan amalan yang terbaik yang dilakukan oleh seseorang manusia[36].



Ulasan:



Hadis ini boleh menyebabkan sebahagian umat Islam tersalah anggap lantas memperkecilkan kefardhuan jihad dan keagungan pahala mereka yang berjihad sebagaimana yang telah disebutkan di dalam Al Quran dan hadis-hadis sahih. Hadis ini sering digunakan oleh mereka yang bercakap atas nama kesufian untuk menunjukkan betapa pentingnya jihad melawan kehendak hawa nafsu. Tiada siapa yang menafikan perlunya kita melawan nafsu yang ingin mengajak ke arah maksiat dan sudah sedia ada di dalam hadis-hadis sahih tentang kepentingan mujahadah menentang kehendak nafsu ini seperti hadis Nabi SAW:


Maksudnya: Orang yang berjihad ialah yang berjuang menentang kehendak dirinya (yang buruk)[37].



Tetapi hadis ini tidaklah sampai bermaksud seperti yang digambarkan oleh hadis palsu tadi sehingga ke tahap menjadikan peperangan itu kecil dan melawan nafsu lebih besar mengatasi segalanya. Firman ALLAH:



Maksudnya : Orang-orang yang beriman, berhijrah dan berjihad pada jalan ALLAH dengan diri mereka sendiri dan harta mereka lebih besar pahalanya (dari orang yang hanya memberikan harta dan tidak pergi ke medan peperangan) di sisi ALLAH dan itulah orang-orang yang berjaya[38].



Di dalam Islam terdapat pelbagai jenis jihad dan di antaranya ialah jihad peperangan mempertahankan Islam daripada musuh, jihad dalam menuntut ilmu, jihad membangunkan ekonomi, jihad menentang hawa nafsu yang menjurus ke arah maksiat dan lain-lain lagi. Namun begitu, hadis yang disebutkan tadi adalah dhaif atau lebih rendah kedudukannya dan kita dilarang menggunakan hadis sedemikian dalam menyatakan sesuatu hukum. Marilah kita menggunakan hadis-hadis sahih dalam menentukan sesuatu perkara atau hukum. Inilah perkara yang telah disarankan oleh para ulama sejak dahulu hingga kini.


Kesepuluh:



Maksudnya: Berbual di masjid memakan pahala seperti binatang liar memakan rumput.



Kedudukan Hadis:

Menurut beberapa orang ulama hadis, hadis ini adalah palsu. Hadis ini disebut di dalam buku-buku seperti Ihya’ Ulumiddin karya al Ghazali. Al Iraqi telah memberikan komennya terhadap hadis ini dengan kata beliau: “Aku tidak menemui asalnya”[39]. Pendapat tersebut disokong oleh al Albani di dalam bukunya Silsilah al Ahadith al Dhaifah[40]. Di antara ulama hadis lain yang menyatakan bahawa hadis ini palsu ialah al Zubaidi, al Fairuz Abadi, Ibn Hajar al Asqalani, Ali al Qari dan Abd. Fattah Abu Ghuddah[41].





Ulasan:



Hadis ini secara zahirnya seolah-olah melarang kita daripada berbual atau berbincang di masjid. Sedangkan di dalam hadis-hadis yang sahih, kita dapati Rasulullah SAW seringkali berbincang dan berbual dengan para sahabat di dalam masjid. Bahkan lebih dari itu, sekumpulan orang Islam dari Habsyah telah bermain di dalam Masjid Nabawi dengan permainan pisau. Permainan tersebut bertujuan mengisi masa lapang dan juga melatih kemahiran bersenjata. Maka Rasulullah SAW dan isterinya Aisyah bersama-sama melihat kepakaran orang-orang Habsyah bermain senjata dan tidak melarangnya[42].



Masjid merupakan tempat untuk kita berbincang, menuntut ilmu, merancang perkara-perkara kebaikan dan juga bertegur sapa serta beramah mesra. Inilah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW dan ia berlainan dengan apa yang disebutkan oleh hadis yang tidak sahih ini. Seharusnya masjid berperanan seperti zaman Rasulullah SAW bagi memastikan umat Islam terus maju dan berjaya seperti pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat.




[1]Al Maudhu’at – Ibn al Jauzi – jilid 1 – muka surat 215.

[2]Makrifat al Tazkirah – Ibn Tahir al Maqdisi – hadis no. 118.

[3]Al Mughni An Hamli al Asfar – hadis no. 36 – susunan oleh Abu Muhammad Asyraf Bin Abd. Maqsud – cetakan pertama 1995 – Maktabah Dar al Thabariyyah, Riyadh.

[4]Kata-kata beliau diambil daripada buku Ahadith La Tasihhu – Sulaiman Bin Salih al Kharashiy – hadis no. 21 – laman web www.saaid.net).

[5]Silsilah al Ahadith al Dhaifah – hadis no. 416 dan Dhaif al Jami’ al Shaghir – hadis no. 906 dan 907.

[6]Surah al Mujadalah – ayat 11.

[7]Hadis riwayat Muslim – hadis nombor 2699

[8]Hadis riwayat Ibnu Majah – hadis nombor 224 dan ia disahihkan oleh al Albani dalam semakannya terhadap Sunan Ibn Majah. Hadis ini juga dinilai sebagai hadis hasan oleh Basyar Awwad Ma’ruf dalam kajiannya terhadap Sunan Ibn Majah.

[9]Taisir al Fiqh Li al Muslim al Mu’ashir – Prof.Yusuf al Qaradawi – m.s. 215.

[10]Qiimatu al Zaman ‘Inda al Ulama’ – Abd. Fattah Abu Ghuddah – muka surat 30 – cetakan kelapan,1998 – Maktab al Mathbu’at al Islamiyyah, Halab.

[11]Al Mashnu’ Fi Ma’rifati al Hadith al Maudhu’ – Ali al Qari – tahqiq Abd. Fattah Abu Ghuddah – muka surat 230.

[12]Majma’ al Zawaaid – al Haithami – hadis no. 6091.

[13]Al Musnad – Ahmad Ibn Hanbal – edisi tahqiq Ahmad Syakir – jilid 2 – muka surat 4.(www.dorar.net)

[14]Dhaif al Jami’ as Shaghir – hadis no. 1484 dan 3531.

[15]Al Musnad – Ahmad Ibn Hanbal – hadis no. 530– cetakan Muassasah al Risalah, Beirut.

[16]As Sahih al Musnad Min Asbab an Nuzul – Muqbil Bin Hadi al Wadii – muka surat 11-12 – cetakan kedua 1994 – Dar Ibn Hazm.

[17]Kaifa Nata’amalu Ma’a al Sunnah al Nabawiyyah – Prof.Dr.Yusof al Qaradhawi – muka surat 67 – al Ma’had al ‘Alami Li al Fikr al Islamiyy, Amerika Syarikat.

[18]Al Mughni An Hamli al Asfar – al Iraqi – hadis no. 3340.

[19]Silsilah al Ahadith al Dhaifah wa al Maudhu’ah – hadis no. 1607..

[20]Silsilah al Ahadith ad Dhaifah wa al Maudhu’ah – al Albani – hadis no. 39 dan Dhaif al Jami’ al Shaghir – hadis no. 5861.

[21]Majma’ al Zawaaid – al Haithami – hadis no. 8254.

[22]Silsilah al Ahadith al Dhaifah wa al Maudhu’ah – al Albani – huraian bagi hadis no. 39.

[23]Al Mughni An Hamli al Asfar – al Iraqi – hadis no. 278.

[24]Dhaif al Jami’ al Shaghir – hadis no. 6163 dan 2414.

[25]Hadis no. 223 dan diriwayatkan juga oleh al Tirmizi (hadis no. 3517).

[26]Jami’ al Ulum wa al Hikam – Ibn Rajab al Hanbali – jilid 2 – muka surat 7 hingga 14.

[27]Sila lihat kembali jawapan kepada soalan nombor 18 dalam buku ini.

[28]Silsilah al Ahadith al Dhaifah wa al Maudhu’ah – hadis no. 57.

[29]Al Mughni An Hamli al Asfar – al Iraqi – hadis no. 74.

[30]Silsilah al Ahadith al Dhaifah wa al Maudhu’ah – huraian hadis no. 57.

[31]Jami’ al Ulum wa al Hikam – Ibnu Rajab al Hanbali – jilid 2 – muka surat 10.

[32]Al Mughni An Hamli al Asfar – al Iraqi – hadis no. 3651.

[33]Dhaif al Jami’ al Shaghir – hadis no. 3535.

[34]Nota kaki no. 1 dalam buku al Mashnu’ Fi Ma’rifati al Hadith al Maudhu’ – Ali al Qari – muka surat 218.

[35]Jami’ al Ulum Wa al Hikam – Ibnu Rejab al Hanbali – jilid 1 – muka surat 489.

[36]Diambil daripada huraian al Albani dalam Silsilah al Ahadith ad Dhaifah wa al Maudhu’ah – hadis no. 2460.

[37]Hadis sahih riwayat al Tirmizi (hadis no. 1621) dan disahihkan oleh al Tirmizi serta disokong oleh al Albani.

[38]Surat at Taubah – ayat 20.

[39]Al Mughni An Hamli al Asfar – hadis no. 410.

[40]Silsilah al Ahadith al Dhaifah wa al Maudhu’ah – hadis no.4.

[41]Al Mashnu’ Fi Ma’rifati al Hadith al Maudhu’ – Ali al Qari – muka surat 92 (nota kaki no.2).

[42]Hadis Sahih riwayat al Bukhari (hadis no. 3530) dan Muslim (hadis no. 2105).

*MOHON DISEBARKAN

_________________________________________

Source: http://www.hafizfirdaus.com/ebook/20asashadis/isu20.htm

♥ LA TAHZAN BLOG: http://www.latahzan00.blogspot.com/
___________________________________________________________________

Anda disarankan untuk membaca artikel ini;

Tajuk: "JAWAPAN AHLUL SUNNAH WAL JAMAAH TERHADAP SYIAH IMAMIAH"

Klik Link: http://www.hafizfirdaus.com/ebook/buku_syiah/siri4/Kandungan.htm
___________________________________________________________________

Sekiranya anda terdapat pertanyaan isu Agama, bertanya di sini;

Klik Link: http://al-fikrah.net/
___________________________________________________________________

Saturday, June 5, 2010

HADIS PALSU & DHAIF JIDDAN: Kebersihan itu separuh daripada iman.

Kebersihan itu separuh daripada iman.



Kedudukan Hadis:

Hadis ini telah dikritik dan dilabelkan sebagai hadis dhaif jiddan (sangat dhaif) oleh al Iraqi[23] dan dinyatakan sebagai palsu oleh al Albani[24] dengan lafaz yang hampir sama iaitu “kebersihan itu menyeru kepada keimanan”.



Ulasan:



Telah disepakati oleh semua orang yang mempelajari tentang Islam melalui sumber utamanya iaitu Al Quran dan hadis sahih bahawa Islam memang mementingkan kebersihan. Tetapi tidak ada hadis yang menyatakan bahawa “Kebersihan itu separuh daripada iman”. Kita perlu berhati-hati apabila menyebutkan sesuatu hadis dan tidak sekadar menyebutnya kerana maknanya bertepatan dengan ajaran Islam.



Terdapat satu perkara yang menarik yang saya pernah temui iaitu satu hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahih Muslim[25] dengan lafaz: الطهور شطر الإيمان yang diterjemahkan dengan maksud: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman”. Terjemahan sebegini saya temui di dalam salah sebuah majalah yang pernah saya baca. Sedangkan maksud hadis itu yang sebenar menurut kata para pengkaji hadis dalam buku-buku mereka ialah: “Bersuci dari hadas adalah separuh daripada solat”. Terdapat perselisihan pendapat tentang maksud hadis ini dalam buku Jami’ al Ulum wa al Hikam karya Ibnu Rejab al Hanbali (795H). Ibnu Rajab telah membincangkan maksud sebenar perkataanالطهور dan perkataan الإيمان dengan membawa banyak pendapat para ulama. Kesimpulan yang diambil oleh Ibnu Rajab ialah perkataan الطهور membawa maksud ‘bersuci daripada hadas’ dan maksudالإيمان pula ialah ‘solat’[26]. Maksud hadis ini betul, namun hakikat ini tidak bermakna kata-kata tersebut telah benar-benar diucapkan oleh Rasulullah SAW. Kita mesti berhati-hati dalam menyebut sesuatu berkaitan Rasulullah SAW[27].



[23]Al Mughni An Hamli al Asfar – al Iraqi – hadis no. 278.


[24]Dhaif al Jami’ al Shaghir – hadis no. 6163 dan 2414.


[25]Hadis no. 223 dan diriwayatkan juga oleh al Tirmizi (hadis no. 3517).


[26]Jami’ al Ulum wa al Hikam – Ibn Rajab al Hanbali – jilid 2 – muka surat 7 hingga 14.


[27]Sila lihat kembali jawapan kepada soalan nombor 18 dalam buku ini.

SOURCE: http://hafizfirdaus.com/ebook/20asashadis/isu20.htm

*SEBARKAN . . .

Friday, September 18, 2009

HADIS PALSU: Kenal diri maka, Kenal Allah!

MATAN:

من عَرَفَ نفسهُ فقد عرف ربَّه

barangsiapa yg mengenali dirinya, maka sesungguhnya dia mengenali Tuhannya


STATUS:

PALSU [rujuk al-Asrar al-Mrfu'ah (506), Tahzih al-Syarieyah (420/2),Tazkirah al-Mudhu'at (11)

kata an-Nawawi: tidak thabit (غير ثابت), kata ابن السمعاني: ia adalah kata-kata Yahya bin Muadz al-Razi (هو من كلام يحيى بن معاذ الرازي رضي الله عنه) [rujuk kitab الدرر المنتثرة في الأحاديث المشتهرة oleh as-Suyuthi]

wallah-hu-'alam

*sumber: http://www.al-fikrah.net/ForumsPro/viewtopic/t=3872.html